Wednesday, April 8, 2015

Donut Gebu

Assalamualaikum..salam 1 Malaysia..
Tapi sekarang ni ada salam baru...Salam 1 GST! Walau apa pun pandangan orang ramai terhadap pelaksanaan GST di Malaysia, selagi kaki berpijak di bumi tanah melayu ini, hidup tetap harus diteruskan!

Blog ini sudah tenggelam timbul sekarang ni. Sabar lah lagi 2 1/2 tahun Insya Allah habis lah pengajian mieza..doakan saya!

Bukan tak memasak..memang boleh dikatakan setiap hari memasak..tapi tak sempat nak bergambar sebab dalam kepala ini sangat banyak kerja-kerja especially yang berkaitan dengan pengajian yang terpaksa didahulukan. Terkadang cemburu juga bila kawan-kawan update blog dengan masakan yang sangat mengancam...meleleh air liur ku....


Petang semalam sempat juga mieza menguli donut untuk minum petang keluarga..kesian juga bila terpaksa hidangkan air panas dengan biskut Jacob je kat suami bila dia balik kerja..lagi pun mendonut ni tidak lah mengambil masa yang lama...cuma uli (pakai mesin)..biar dia naik...dan kemudian bentukkan berbentuk cincin...sementara menunggu dia naik (selalunya sejam hingga sejam setengah) boleh la mieza menelaah...


Bila mieza poskan gambar donut ni di FB semalam ada a few of my friends yang minta resepi. Jadi untuk menyenangkan semua orang merujuknya, termasuklah diri saya sendiri sebagai rujukan pada masa hadapan terpaksalah mieza luangkan masa menulis coretan di blog ni hari ni. Donut ni sangat gebu..sedap...anak-anak pun suka..siap bawa bekal ke sekolah lagi pagi ni...resepi Chef Wan sebenarnya..


DONUT

Bahan A:
1 paket yis serbuk (11 gm)
1 sudu kecil gula
1/4 cawan air suam

Bahan B:
3 cawan tepung gandum
4 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
3 sudu besar susu tepung
1 biji telur
1/2 cawan air
2 sudu besar mentega

Bahan C:
Minyak untuk menggoreng
Gula kastor/ Gula icing

Cara-cara:
1. Satukan bahan A di dalam bekas dan biarkan hingga berbuih. Dalam 2-3 minit. Jika ia berbuih bermaksud yisnya aktif dan tidak mati.
2. Di dalam bekas pengadun satukan tepung, gula, garam dan susu tepung. Gaul rata.
3. Buatkan lubang ditengah-tengah adunan tepung dan pecahkan telur, masukkan mentega dan juga bahan A yang telah aktif.
4. Putar adunan dengan menggunakan 'hook' pengadun. Macam dalam gambar ni..Putar hingga semua bahan bergaul rata.


5. Masukkan air (1/2 cawan) sedikit demi sedikit sambil adunan diputar. Tak perlu habiskan air jika adunan sudah tidak melekat pada mangkuk. Atau boleh juga ditambah air jika adunan terlalu kental. Ini bergantung kepada jenis tepung yang digunakan. Selalunya 1/2 cawan hingga 3/4 cawan air memadai.
6. Teruskan memutar selama 5-7 minit. Boleh juga diuli dengan tangan. Tapi takut timbul muscle nanti!
7. Keluarkan mangkuk dari pengisar dan tumbuk-tumbuk adunan dan bentukkan satu bola besar. Tutup mangkuk dengan tuala bersih dan rehatkan selama sejam hingga sejam setengah atau hingga adunan naik dua kali ganda.


8. Bila adunan sudah naik, keluarkan adunan dan canaikan di atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung. Tujuannya supaya doh tak melekat. Canaikan setebal 1/2 inci dan tekapkan dengan acuan donut hingga habis.
9. Susun donut di atas loyang yang telah ditabur sedikit tepung. Rehatkan doh donut selama 1/2 jam.
10. Panaskan minyak. Goreng donut di dalam minyak secara terendam hingga keperangan. (Sekejap je tau goreng donut ni). Balik-balikkan donut semasa menggoreng. Angkat dan toskan.
11. Donut hendaklah disalut gula semasa ia masih panas. Jika ia dah sejuk gula tak akan melekat. Ambil satu plastik bersih. Masukkan 5-6 sudu besar gula kastor/gula icing ke dalam plastik. Kemudian masukkan donut yang masih panas-panas ke dalam plastik yang berisi gula dan goncangkan. Kaedah salutan gula ini adalah lebih cepat dan lebih bersih, gula tak berterabur.


Senang je kan? Nampak je arahan macam panjang..tapi sebenarnya senang sangat...

Selamat mencuba :)

5 comments: