Main Module

Welcome to my cooking blog, a place where recipes are shared. Do not hesitate to leave comments and ideas as to how to improve my cooking. Enjoy blogwalking and please keep coming back for more updates

Adds

Calendar

Showing posts with label SEAFOOD. Show all posts
Showing posts with label SEAFOOD. Show all posts

Saturday, March 29, 2014

Pari Bakar Sambal Kantan

Alhamdulillah...hari ni hujan lebat di Tanjong Malim...sepanjang hari ni mendung je...jemuran pun tak kering...tapi tak per..kemarau dah lama sangat..kami bersyukur atas nikmat hujanMu wahai Yang Esa...sejuklah sikit tido malam ni...tentu esok liat nak bangun pagi..

Dua malam kebelakangan ini mieza tak lena tido..mungkin akibat makan ubat sebab tak sihat dan mungkin tak rasa dengan salah satu ubat menyebatkan jantung mieza berdegup kencang sampai susah nak tido..kebaikan darinya ialah bangun awal lah hari ni...terus bancuh oat bersama buah dan kejutkan enik suami untuk teman ke pasar...

Seronoknya sampai di pasar sebab ada ikan pari yang segar-segar..suami mieza memang suka makan ikan pari..sama ada bakar atau masak asam pedas...terus mieza capai sekor berharga RM11...sekali sekali gembirakan hati suami tercinta..semoga cintanya pada mieza akan sentiasa berkekalan...



Resepi pilihan mieza untuk hidangan buat suami tercinta hari ni ialah Pari Bakar Sambal Kantan





Bahan-bahan:
1 ekor ikan pari – dicuci bersih
1/2 kuntum bunga kantan – dihiris halus
1 helai daun kunyit, mayang halus
3 biji limau kasturi, perah jusnya
Sos ikan secukup rasa
Sedikit gula
1/3 cawan pati santan
Daun pisang secukupnya
4- 5 helai daun kunyit

Bahan kisar halus:
4 biji cili merah
2 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 biji buah keras
1/2 kuntum bunga kantan
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
Sedikit kunyit hidup
1 batang serai,




Cara-cara:

1.  Ikan pari dicuci bersih dan perap dengan jus limau kasturi dan sedikit garam selama 10 minit. Kemudian dicuci kembali dan dilumurkan garam kunyit. Ketepikan.
2.  Penyediaan sambal kantan: Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum dan terbit minyak. Masukkan santan dan terus memasak hingga pekat. Tambah sos ikan secukup rasa, daun limau purut dan sedikit gula, kacau rata dan tuang jus limau kasturi. Masak sekejap dan rasa. Mesti ada rasa masin, manis, masam, lemak dan sedikit pedas. Matikan api dan ketepikan.
3.  Untuk membakar ikan pari: Ambil sehelai daun pisang dan bentangkan di atas kuali pemanggang. Sendukkan 1-2 sudu besar besar sambal dan ratakan atas daun pisang. Letakkan ikan pari di atas sambal tadi dan letak lagi 2 sudu besar sambal di atas ikan. Tabur dengan 1/2 bahagian hirisan daun kunyit dan 1/2 bahagian hirisan bunga kantan. Bungkus kemas dan bungkus dengan sehelai lagi daun pisang.  Bakar ikan di atas kuali pemanggang hingga masak.
4.  Bila ikan dah masak, boleh dituangkan baki sambal kantan dan dihidangkan dengan belahan limau kasturi, dan hirisan cili padi. Hidangkan bersama nasi putih panas.

Komen encik suami
"Ya Allah sedapnya ikan pari you masak..sambalnya pun sedap..dah 2 pinggan I tambah. Ikannya pun segar dan rasa manisnya..pandai you masak"
Wah wahhhhh kembang idung mieza dipuji suami! Tak percaya ke sedap? Cuba la :)

Wednesday, March 5, 2014

Kerabu Suhun

Assalamualaikum..
Hari kepala ni dok nyutttttt nyuttttt...
Pagi tadi breakfast dengan Nasi Dagang...pastu telan teh ais...lunch makan lamb chop..dengan faktor panas terik...bila kepala nyutttt nyuttttt, kaedah penyelesaian mieza ialah makan ubat dan tido...tapi banyak pula errands nya...

Sambil dok nyutttt nyutttt ni mai lah kita tengok resepi kerabu suhun yang mieza masak untuk lunch Ahad lepas...tak mo tulis banyak..migrainnnn...

KERABU SUHUN

Segenggam suhun
100 gm udang
3-4 sudu besar kacang tanah tumbuk
1 sudu besar sos ikan
Garam dan gula
1 biji limau nipis - ambil jusnya
2 sudu besar udang kering - panggang dan tumbuk kasar
1 biji tomato - dadu

Bahan hiris:
1 biji bawang besar
4-5 biji cili api
2-3 biji cili merah
3-4 tangkai daun kesum
Daun ketumbar
1 kuntum bunga kantan
Sedikit carrot


Cara penyediaan:
1. Suhun direndam dengan air panas hingga lembut. Tos dan ketepikan.
2. Udang dikupas kulit dan dicelur hingga masak. Angkat dan toskan.
3. Di dalam mangkuk, satukan semua bahan dan gaul rata. Rasakan masam, masin dan manis.
4. sedia untuk dihidang.

Monday, January 13, 2014

Baked Seafood Paella

Berurut sudah, makan ubat pun sudah..tapi sakit kat belakang ni masih tak baik gak...apa HAL??? Huhuhu..kata mak cik urut tu masuk angin...hmmmm dah makan ubat ubat angin dan sapu minyak Nona Roguy tapi sakit nya tak juga ilang...adoilaaaaaaa..mungkin sebab dok dukung Umar...mungkin dok sebab angkat barang berat..huwaaaaa

Bila sakit belakang ni buat apa pun tak besh...suami belikan nasi ayam pun rasa tak syedap padahal orang lain kata sedap je nasi ayam tu...angin di belakang pun dah merebak ke kepala...mula lah ia berdenyut nyuttttt nyuttttt...

Dan nak masak pun rasa tak larat...lagi tak larat kalau nak bersiap dan keluar makan kat luar...maka mieza bedal masak all in one macam paella rice ni...

Resepi asal dari Lobster Paella...diubahsuai sebab kat umah ni tak der lobster cuma ada udang galah jer...bedal je la kan...mieza tambah sedikit mozarella di saat akhir sebab suami sukakan cheezy baked macam ni..


BAKED SEAFOOD PAELLA

Ingredients
  • ¼ cup (60ml) extra virgin olive oil
  • 2 beef/chicken frankfurter, cut into ¼ inch thick slices
  • 1 onion, chopped
  • 3 cloves garlic, minced
  • 1 red bell better, cut into 1 inch strips
  • 2 tomatoes, cubed
  • 2 cups (400g) short grain rice, washed and drain-I used basmathi
  • 2½ cups (600ml) chicken stock
  • 1½ tsp salt
  • ¼ tsp pepper
  • ½ tsp saffron threads
  • 12 oz (340 gm) salmon, skin removed and cut into ¼ inch thick slices
  • 1 lb (450g) mussels, scrubbed and debearded- I omitted this as it was not available from my fridge
  • 4 lobster tails about 5 oz (140g) each, cut into half lengthwise- ganti dengan udang galah
  • ½ cup chopped flat leaf parsley
  • 1 lemon, cut into wedges
I added some shredded mozarella



Instructions

1. Heat olive oil in a 34 cm paella or large shallow pan (I used 8 inch x 8 inch oven proof casserole). Brown the frankfurter for about 3 to 4 minutes. Remove and set aside.
2. Saute onions, garlic, red bell pepper, and tomatoes for 3 minutes. Add rice and stir fry for another 3 minutes.
3. Pour in chicken stock and white wine.
4. Crumble in the saffron. Season with salt and pepper. Return browned frankfurter to the pan. Cover, reduce heat and allow it to simmer for 12 minutes.
5. Preheat oven to 350°F (180°C).
6. Arrange salmon and mussels all around the pan. Then place lobster halves on the top(I seasoned the salmon and prawns and grilled them all first). Cover and cook for 6 minutes.
7. Remove lid and transfer pan to the oven. Sprinkle some shredded mozarella. Bake uncovered for 10 minutes to finish cooking.
8. Remove from oven and let it sit on stove top lightly covered with aluminum foil for 10 minutes.
9. Serve with chopped parsley and lemon wedges.


Sedap sangat...suami suggestkan next time mieza serve this paella with some salsa. Lagi sedap katanya...

Saturday, January 4, 2014

Seafood Gumbo with Lemon Rice Pilaf

Rasanya masih belum terlewat untuk mieza ucapkan Selamat Tahun Baru 2014 buat semua visitor blog kesayangan mieza ni. Masuk awal tahun baru ni memang tak menang tangan sikit. Wawa baru masuk Tahun 1. Mama lah yang paling kelam kabut sebab tak berapa nak percaya anak kedua mama tu boleh ke tak bawa diri ke sekolah. Wawa masih belum tahu kira duit, jadi mama kurang yakin untuk melepaskan Wawa beli makanan kat kantin waktu rehat. Maka mama sanggup bangun jam 5 pagi untuk siapkan bekal Wawa. Malam pula memang tido lewat kerana siapkan pakaian Wawa, gosok baju dan sediakan buku Wawa mengikut jadual yang diberi guru. Walaupun Along kata dia akan gosokkan baju adik, hmmm entah lah perasaan keibuan mama ni kata nak buat sendiri juga. Mungkin lepas seminggu dua ni mama rasa legalah sikit kot..

Gambar pakai camera phone...ampunnya kekurangannya..


Doa mama sentiasa mengiringi perjuangan mu anakku sayang. Semoga membesar menjadi wirawati negara yang banyak berjasa. Mama bangga dengan Wawa. Ingat anakku, hormatilah gurumu biar seburuk mana kelakuannya kerana tanpanya kamu tak mungkin berjaya. Setidak-tidaknya belajarlah darinya agar kamu menjadi insan yang lebih baik daripadanya.


Mulakan pengajianmu dengan Bismillah, bantulah kawanmu yang lemah sesungguhnya ilmu bukan semakin berkurang dengan membantu kawanmu, malah Allah SWT melipatgandakan kefahamanmu di mana kamu lemah. Tekunlah dalam menuntut ilmu kerana tanpa ilmu hidupmu malap umpama malam tiada berbintang. Selamat berjaya anakku!

Emo pula mieza bila Wawa dah masuk Tahun 1. Terasa baru semalam Wawa dilahirkan. Kini sudah 7 tahun usianya. Cepatnya masa berlalu..dan kita semakin hari semakin tua...

Uhukkksss

Isy isy..meh kita sembang lak pasal resepi hari ni..

Pagi-pagi suami menyatakan hasratnya nak makan Gumbo. Bagi merealisasikan impian suami tercinta maka ke pasarlah mieza pepagi lagi..mak aihhhh mahalnya seafood di pasar lately! Udang kecil-kecil saja RM32 sekilo yang biasanya cuma RM18 sekilo. Ikan bawal yang selalunya RM14 sekilo hari ni RM28. Ikan kembung selalunya RM9 kini RM10, ok lah lagi sebab naik RM1 je....mieza nak berenti kerja dan jadi nelayan la pulak huwaaaaaa

Tapi mahal pun beli lah juga serba sedikit..Udang sikit, sotong sikit..kebetulan dalam peti ais ada ikan dory lebihan entah bila entah..meh la kia meng'gumbo'..

Hubby makan bertambah-tambah..dia memang suka nasi tumis bersama lauk yang berkuah pekat macam gumbo ni...kembang kempis hidung mieza bila dipuji suami! Alhamdulillah..semoga kasih sayang antara kami akan sentiasa berpanjangan dan berkekalan..



SEAFOOD GUMBO

5 ekor sotong sederhana besar - potong cincin
15 ekor udang - buang kulit
2 keping ikan dory
1 biji bawang besar - hiris dadu besar
3 biji bawang putih - cincang
1/2 inci halia - cincang
50 gm tepung gandum
1 kiub pati ayam
1 mangkuk air
2 helai daun bay
1 batang carrot - hiris
1 batang seleri - hiris serong
5-6 biji bendi - potong serong selebar 1.5 cm
1 biji tomato - potong 4
3-4 sudu besar tomato puree - mieza guna brand Leggo's
2-3 sudu besar serbuk cili
1/2 biji cili benggala hijau dan merah
1 sudu kecil daun thyme
Minyak zaitun untuk menumis




Cara-cara Penyediaan:

1. Perapkan ikan dory dengan sedikit garam, lada sulah dan paprika. Goreng hingga masak. Potong dadu dan ketepikan.
2. Panaskan minyak zaitun di dalam periuk non-stick dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia hingga garing. Kemudian masukkan tepung gandum dan kacau sentiasa hingga tepung keperangan tetapi jangan sampai hangus.
3. Masukkan air dan kiub ayam. Kacau rata. Kemudian tambahkan semua bahan lain kecuali thyme. Reneh hingga lauk masak.
4. Perasakan garam dan masukkan thyme. Akhir sekali masukkan dory yang telah digoreng tadi.
5. Hidangkan bersama nasi pilaf.


NASI PILAF LEMON

3 pot beras basmathi (mieza guna pot rice cooker)
1 pot susu cair
3 pot air
2 helai daun bay
1/2 biji lemon - hiris nipis
Garam secukup rasa
Minyak sapi untuk menumis
1 kiub pati ayam 

Bahan kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Segenggam kismis

Bahan tumis:
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 kuntum bung cengkih

Cara-cara:

1. Basuh beras hingga besih dan toskan.
2. Panaskan minyak sapi dalam periuk dan tumis bahan tumis hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga garing.
3. Tambahkan air dan semua bahan lain. Tanak seperti memasak nasi biasa.
4. Apabila masak, hidangkan bersama gumbo tadi.

SELAMAT MENCUBA!

Friday, December 13, 2013

Tom Yum Kelapa - yang sangat mabelesssss

Fuhhh fuhhh fuhhh tiup sawang dulu sebab dapur ni dah naik sawang kan...tom yum kelapa ni rasanya adalah dalam sebulan yang lepas mieza masak...tak sempat nak post ke sini...balik kerja memang terus padam lepas solat maghrib..kekadang tu solat Isyak pun pukul 2 pagi...kerja ni memang tak pernah abiskan...rasanya dah buat kerja tetiap ari..tapi tetap gak menimbun...cer explain, awat jadi lagu tu???

Tom yum kelapa! First time dengar namanya memang teruja sangat..seumur hidup mieza (yang baru 17 tahun ni ahaksss) tak pernah denngar nama tom yum kelapa...apa lagi nak memakannya...satu hari semasa berkursus di UUM Kedah, sorang kawan ajak mieza makan tom yum kelapa di Padang Besar...wahhhh terujanya...terus mieza setuju..

Dan memang tak menghampakan! Walaupun travel dari Sintok ke Padang Besar memakan masa +/- sejam namun tidak kukesali kerana tom yum kelapanya memang emppphhhh! Mabelesss! Di Padang Besar, tom yum kelapa ini dihidang dalam buah kelapa muda. Harganya RM20 untuk sebiji tom yum kelapa...memang kami order sebiji tom yum kelapa untuk setiap orang! Hambik ko! Makan tak hengat!






Oleh sebab keterujaan yang melampau, mieza terpanggil untuk interview  tuan kedai tentang resepinya...nak masak kat hubby! Tapi was was gak memula tu..ye la kan orang berniaga, kalau kita tanya resepinya mau ke dia share...tapi kalau tak cuba tanya kita tatau kan apa reaksi dia...maka dengan segan silu mieza pun masuk ke dapur restoran sambil dalam kepala ni mengatur ayat-ayat manis pembuka bicara...

"Akak, sedapnya kak tom yum kelapa tu" heheheh kita mulakan dengan pujian dulu...
Akak tuan kedai tu senyum...ok dia senyum..macam petanda baik la kan..
"Tak pernah saya makan tom yum kelapa kak...ini lah first time"
Akak tu senyum lagi...opps lupa lak, akak tu orang siam..ke dia tak paham mieza cakap...
"Sedap sangat kak"
Senyum lagi sambil kira duit...huh mesti banyakkan duit dia...heheh
"Suami saya pun tak pernah makan...saya dah ambik gambar dan whats app dia kak...terus dia suruh saya masak untuk dia"
"Senang je masaknya tu" akhirnya dia jawan! Dalam dialek melayu siam!
"Macam mana nak masaknya kak..saya nak balik masak..saya dari KL ni kak" pancing jangann tak pancing
"Masak macam tom yum biasa cuma kuahnya jangan letak air paip tapi letak air kelapa muda"
"ooooo gitu ke kak...senang je ye kak"
"Tapi kena guna sambal cili dia la baru sedap" Ooowhhh ada sambal cili special lak tuuuu
"Sambal cili apa tu kak?"
"aabsnchrstdkslal" dia cakap siam ko...ternganga lah mulut mieza "beli je kat pasar tu ha"
"errr...akak, saya tak paham akak cakap sambal cili apa tadi..saya tk reti cakap siam kak"
Terus dia ambik kertas dan tulis tulisan siam
"Kak, saya tak reti baca siam"
"Tak payah baca..tunjuk je kertas ni kat jurujual tu..nanti bagi sambal cili untuk masak tom yum kelapa"
"Ohhh terima kasih banyak kak"

Hah ambik ko! Sudi pun kak tu kongsi resepi yang mabeles ni...sekarang biar mieza lak yang share dengan you allllllsssss..


TOM YUM KELAPA
(Untuk 4 orang)

Bahan:
6 ekor udang galah saiz besar
5-6 ekor sotong - potong cincin
Ayam bahagian bertulang - potong kecil
Sedikit daging - dihiris
2 biji kelapa muda - ambil air dan sendu isinya
3-4 biji bawang kecil - hiris
3 biji bawang putih - ketuk
1 biji bawang besar - belah 4
1/2 inci halia - ketuk
1 inci halia - ketuk
3 batang serai - ketuk
6-7 biji cili api - ketuk
1 kiub tom yum
4-5 helai daun limau purut
2 biji tomato - belah 4
Sedikit daun ketumbar dan daun bawang - hiris
2 sudu besar sos ikan
2 sudu besar sambal cili thai (rujuk gambar)
air limau nipis
Minyak untuk menumis


Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bawang merah dan bawang besar hingga perang dan kemudian masukkan sambal cili thai. Kacau rata.
2. Masukkan serai, halia, lengkuas dan kiub tom yum kemudian masukkan air kelapa serta udang dan bahan lauk yang lain.
3. Masak hingga udang dan lauk yang lain masak.
4. Tambahkan cili api, buah tomato dan sayuran kegemaran seperti lobak merah, bunga kubis dan sebagainya.
5. Rasakan masin dengan memasukkan sos ikan dan juga perahan air limau nipis..
6. Akhir sekali masukkan isi kelapa muda, daun limau purut, daun bawang dan daun ketumbar.

Chilli paste yang direkemen kan oleh tukang masak restoran tu..RM6 sebotol..letak dalam nasi goreng pun sodap! Dan ada logo halal Thailand. Suami makan nasi bertambah-tambah...memang sodap katanya!

Cubalah..insyaAllah tak menyesal...

Sunday, July 14, 2013

Udang Galah Cream Cheese

Boring pula bila berpuasa di hujung minggu..sebabnya tatau nak buat apa..opssss bukan tatau nak buat apa..banyak benda yang nak dibuat..tapi benda yang nak buat tu tak berapa minat nak buat..contoh: lipat kain! Kain memang banyak kat dalam bilik tu memanggil-manggil supaya dilipat tapi awat laaaa terasa sangat malas nak melipat kain...yang terasa rajin ialah nak masak...tapi nak masak sekarang baru pukul 11 pagi..awal lagi...kang jiran kata posa yang yuk lak...

Hari ni mieza tak berbuka di rumah...ada kerja sikit di Shah Alam, jadi terus berbuka di sana..ini lauk berbuka semalam...masa ke pasar minggu di Behrang Stesen Jumaat lalu ada dijual udang galah..ssah juga nak cari udang galah di sini...harga pun dah mahal...dulu RM20/kg kali ni RM30 meningkat 50%...apa nak buat, teringatkan encik somi yang sangat sukakan udang galah masak cream cheese mieza angkat juga 600 gm...khas untuk kawan encik somi yang bertanyakan resepi ni Erma Nuriati..here is the recipe...kalau ko tak jumpa udang galah, udang minyak pun boleh la....


UDANG MASAK KRIM KEJU
(For 4 pax)

10 ekor udang galah
3 ulas bawang putih - cincang
1 biji bawang besar - cincang
2-3 biji cili api - potong kecil
3 tangkai daun kari
2 camb butter untuk menumis
Sedikit carrot - potong panjang 1 inci
Sedikit brocolli
Bell pepper - potong ikut suka
1/2 tin susu cair
3- 4 camb parmesan cheese
1 tangkai daun pudina
garam, serbuk lada hitam dan gula


Penyediaan

1. Udang dicuci dan diperap dengan lada hitam, bawang putih dan sedikit garam. Goreng hingga masak dan ketepikan.
2. Panaskan butter dalam kuali, tumiskan bawang putih, bawang besar, daun kari dan cili api hingga garing.
3. Tambahkan susu cair, carrot dan brocolli. Kacau dan masak hingga sayur 1/2 masak.
4. Masukkan pula cheese dan dikacau rata. Masukkan udang yang telah digoreng dan daun pudina ke dalam kuah cheese bersama bell pepper dan digaul rata.
5. Rasakan garam dan gula. Jika suka kuah yang lebih pekat boleh dimasukkan sedikit bancuhan tepung jagung.
6. Hidangkan dengan nasi putih.

SELAMAT MENCUBA

Wednesday, February 13, 2013

Sotong Masala

Tak menang tangan wehhh...bila haripertama masuk kerja setelah cuti panjang..tapi best pula kerja kat opis hari ni bila tak ramai orang. Ramai lagi yanng belum balik dari bercuti di kampung..terasa amannnnnn dan sejahtera tanpa hiruk pikuk students yang sedang bercuti semester..sangat sesuai untuk mengarang research...mari kita mulakan dengan download dan print jurnal...sambil tunggu jurnal tu di donlodkan mesh kita update blog


Dah lama dah masak sotong ni sebenarnya...kebetulan garam masala masih banyak kat dalam peti ais...elok le kita kerjakan cepat-cepat sebelum dia expired. Tak mau cakap banyak sebab sibuk sangat-sangat...jemput tengok resepinya...

SOTONG MASALA
Source: Kak Ummi @ HSH & Mieza @ WAWMC

Bahan A:- (mieza masak half dari bahan)
  • 500 gm sotong (dibersihkan ) -potong bulat
  • 2 biji tomato (dibelah 4 atau 6)
  • 3 tangkai daun kari
  • 1/2 cawan yogurt asli
  • 2 tangkai cili merah (dihiris serong)
  • 2 tangkai cili hijau (dihiris serong)
  • 2 sudu kecil serbuk cili (*ni akak tambah sikit nk kasi pedas sikit, terpulang ya..)
  • 2 sb garam masala - mieza tambah
Bahan B (dikisar):-
  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 1 sudu besar jintan putih - kisar kering
  • 1 sudu besar jintan manis - kisar kering
  • 1 sudu besar lada putih - kisar kering
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit

Cara-Cara:-
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan yang dikisar dan daun kari hingga wangi.
  2. Masukkan udang dan tomato. Kemudian kacau rata (tambah air sekiranya perlu)
  3. Masukkan yogurt, cili merah dan cili hijau. Kacau sebentar dan tutup api.
  4. Sedia dihidangkan....Senang kaannnnn... ^_^

Tuesday, October 23, 2012

Yew Hu Asam Lemak

Assalamualaikum...
Waaaaa seminggu lebih mieza nak jenguk dapur nih...bersawang ehhh? Sorryyyy...busy sangat for the past week..baru balik dari outstationed ke JB...dah alang-alang ke JB tu kita visit la Legoland sekali...seronok bukan mainlah bebudak tu...nanti entry akan datang mieza postkan beberapa keping gambor kat Legoland dan Melaka...seronok...walaupun fenat..hehehe


Sebelum mieza ke JB last week sempat lah juga mencuba resepi baru...sekarang ni malam hubby tak mau makan nasi...katanya badan makin naik..mieza setuju sesangatlah...tengok lah badan ni...scale tak pernah turun asek naikkkk je hahaha...selalunya kalau malam tu kami cuma minum milo atau hot coklat dan Jacob cream cracker je...kalau nak masak nasi dan lauk bagai masa wiken je lah...


Resepi sotong ni mieza jumpa kat Majalah Rasa...nampak menarik jadi mieza try dan yes...sedap! Mieza tak tahu apa maksud yew hu tapi mieza agak maksudnya sotong dalam bahasa cina sebab Rasa keluaran November 2012 ni ada seksyen tentang masakan Baba Nyonya...


Oleh sebab takut resepi yang mieza zaaz dengan camera tu tak jelas jadi mieza salin balik kat bawah ni...

YEW HU ASAM LEMAK
Recipe: Majalah Rasa November 2012, pg 49
Tested by: Mieza @ WAWMC

600 gm sotong - basuh dan potong cincin
1 mangkuk santan dari 1 biji kelapa
4 biji cili hijau
2 biji tomato - belah 4
1 biji bawang besar - hiris
3 sb minyak masak
2 st gula
 Air secukupnya
Sedikit air asam jawa

Bahan A: ditumbuk/mesin
3 batang serai
20 gm cili merah
20 gm cili kering
10 gm bawang merah
10 gm bawang putih

Bahan B:
2 sb serbuk kari ikan
1/2 sb serbuk kunyit
1/2 sb serbuk ketumbar

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan A sehingga kekuningan.
2. Masukkan bahan B dan biarkan sehingga garing dan pecah minyak.
3. Kemudian masukkan sedikit air bersama santan, sotong, cili hijau, tomato, bawang, dan biarkan masak seketika.
4. Masukkan air asam jawa bersama garam dan gula secukup rasa.
5. Biarkan mendidih dan angkat.

**** Pastikan bahan B dibiarkan masak sehingga betul-betul garing terlebih dahulu barulah dimasukkan santan dan kesemua bahan lain.


Di kesempatan ini mieza nak ucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha buat semua rakan pengunjung blog ni...semoga mendapat barakah dengan ibadah korban nanti... ^__^

Friday, October 12, 2012

Gulai Darat Siput Sedut

Dulu-dulu masa mieza kecik kecik mieza selalu teman arwah nenek ke sungai yang terletak kat bakang umah nenek..Sungai Kelantan....cantik sungai tu..mieza suka....pemandangannya pun cantik..sejak arwah nenek dan atok meninggal, umah tu pun dah dirobohkan mieza tak lagi ke sungai tu...dah hampir 15 tahun mieza tak ke sana..dulu mieza ke sana dengan nenek sambil teman nenek cari siput sedut...siput sedut sungai rupanya lain sikit dari yang ni...bentuknya lebih bulat..yang ini macam lonjong sikit...dan rasanya juga lagi lemak....pada selera mieza...

Banyak siput sedut kat sungai tu...kami cari dan simpan dalam baldi...arwah nenek kata siput sedut yang ditangkap elok direndam dalam air bersih semalam...setia 2-3 jam ditukarkan airnya supaya siput-siput tu muntahkan semua lumpur yang ada dalam badannya...barulah baunya tidak begitu kuat...mieza cuci siput ni dengan menggunakan daun salam, air asam jawa dan limau kasturi...insyaAllah bau lumpurnya tidak teruk sangat...

Bila disimpan dalam baldi atau besen yang berisi air jangan lupa untuk tutup muka baldi/besen tersebut....kalau tidak siput tu akan kuar merayap-rayap hahahah


Terliur pula mieza bila teringatkan siput...terus ajak suami ke market...selalu yang dijual di kedai kedai makan siput sedut ni dimasak cili api...tapi mieza lagi suka digulai darat...resepi arwah nenek...


GULA DARAT SIPUT SEDUT
Recipe & source: Mieza @ WAWMC

Bahan-bahan:
2 paket siput sedut - 1 paket harga RM5 kalau di Tg Malim ni
200 gm santan pekat
Air secukupnya untuk dijadikan kuah
6-7 tangkai daun kesum
2 batang serai - ketuk
3 keping asam keping
1 sb kerisik

Bahan tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm kunyit hidup
4-5 biji cili kering
1/2 inci lengkuas
1 sk biji ketumbar


Cara-cara:

1. Siput dicuci dan dipotong sedikit bahagian hujungnya.
2. Satukan semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.
3. Rasakan garam dan gula.
4. Hidangkan dengan nasi putih.

Sunday, September 30, 2012

Sotong Bakar Bersumbat

Assalamualaikum..salam malam Isnin...


Pejam celik pejam celik dah malam Isnin...alahai Monday blues pun dah melanda hahahha....malasnya nak gi kerja esok...tapi banyak nyer kerja yang kena siap kat opis tu...huhuhu...sekarang ni mieza dah tak sempat nak menulis...kalau dulu mieza selalu menulis dan alhamdulillah banyak artikel mieza diterbitkan di magazine ilmiah seperti Millenia Muslim...kena lah curi masa juga untuk menulis kan..sebab kalau tidak terasa otak ni tak berfungsi dengan baik je sebab banyak sangat rest...insyaAllah...


Selepas seminggu dok hotel makan makanan hotel ish mana nak sama dengan masakan sendiri walaupun cukup simple...selepas seminggu berperang di Pearl International menyipakan soalan final exam student, mieza spend 2 hari lagi di Putrajaya umah adik...bila balik hari ni tak sempat pula nak ke wet market...jadi kita full use je la apa yang ada dalam fridge...


Dah lama ternampak resepi ni kat dapur Hazila My Small Kitchen...mieza memang suka visit dapur dia...may be masakan dia satu selera dengan tekak mieza...terpanggil mieza untuk mencuba resepi sotong ni...kebetulan cuma ada 5 ekor je sotongnya..cukup la kan...terima kasih kepada encik suami yang sudi tolong hidupkan api dan dan jadi tukang bakar...

SOTONG BAKAR BERSUMBAT
Recipe: Hazila @ MY Small Kitchen
Tested by: Mieza @ WAWMC

1 ekor sotong bersaiz besar - mieza guna 5 ekor sotong bersaiz sederhana
1 batang serai
1 biji bawang putih
2 ulas bawang merah
1/2 biji cili merah
1/2 biji cili hijau
1 sb isi udang - mieza guna 2 sb udang kering
1 sb kelapa parut
2 biji cili api
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
Secubit jintan manis
1/2 sk garam

Cara-cara:

1. Tumbuk semua bahan kecuali sotong hingga halus.
2. Bersihkan sotong dan lumurkan dengan sedikit garam kunyit.
3. Sumbat bahan yang ditumbuk tadi ke dalam perut sotong hingga hampir penuh. Tutupkan dengan kepala sotong dan cucuk dengan lidi.
4. Bakar hingga sotong masak.
5. Hidangkan dengan air asam jika suka.


Air asam yang sentiasa menjadi kegemaran suami...kalau ada lauk yang berbakar mesti nak cicah dengan air asam...

Teman sekapal...ikan pari bakar...juga kegemaran suami...

Dan Udang Harimau Masak Lemak Cili Api...murah pula udang ni masa beli kat Carefour Alamanda semalam...

Mieza dah nak tido...esok kena kerja...banyak benda yang nak kena setel....Selamat Malam Semua...Muah Muah MMMMuahhhhhs..

Sunday, August 5, 2012

Cheesy Prawns

Salam nuzul Quran..cepatnyer masa berlalu ye..dah 17 hari Ramadhan ziarah kit...lagi 13 hari ia akan berakhir..jika panjang umur tahun depan kita jumpa lagi..yang paling seronok ialah anak-anak..tetiap hari dok belek baju raya..tetiap hari Wawa tanya bila hari raya...kata mieza bila kita balik umah atok baru lah raya...alhamdulillah sehingga kini wawa telah berpuasa selama 12 hari...5 hari yang pertama je Wawa tak berpuasa...bila ke sekolah dan ramai kawan-kawannya yang berpuasa dan cikgunya juga bagi input yang baik tentang Ramadhan dan puasa, wawa terus berpuasa hingga kini..alhamdulillah...rasa frust sangat bila mieza ke KFC pada jam 1.30 noon di awal puasa dulu, wawa masa tu belum berpuasa, dia minta dibelikan burger..mieza nampak ramai sangat jejaka muda membeli KFC di drive-thru...nak kata beli kat anak muda sangat mukanya macam tak kawin lagi..waalahua'lam


Jom lah kita tengok resepi udang ni...resepi udang yang menjadi kegemaran keluarga mieza...sedap sanga bagi yang sukakan cheese kena cuba...mieza first time makan kat restoran di pekan Tg Malim...kemudian terus mieza mencuba sendiri di rumah..pantang dibeli udang besar...ini resepi pilihan hhehehe


CHEESY PRAWNS
Source: Mieza @ WAWMC

10 udang galah
3 ulas bawang putih - cincang
1 biji bawang besar - cincang
2-3 biji cili api - potong kecil
1 tangkai daun kari
2 sb butter untuk menumis
Sedikit carrot - potong panjang 1 inci
Sedikit brocolli
1/2 tin susu cair
3- 4 camb parmesan cheese
1 tangkai daun pudina
garam dan gula to taste

Cara-cara:

1. Udang dicuci dan diperap dengan lada hitam, bawang putih dan sedikit garam. Goreng hingga masak dan ketepikan.

2. Panaskan butter dalam kuali, tumiskan bawang putih, bawang besar, daun kari dan cili api hingga garing.

3. Tambahkan susu cair, carrot dan brocolli. Kacau dan masak hingga sayur 1/2 masak.

4. Masukkan pula cheese dan dikacau rata. Masukkan udang yang telah digoreng dan daun pudina ke dalam kuah cheese dan digaul rata.

5. Rasakan garam dan gula.

6. Hidangkan dengan nasi putih....Beshhhhh

Don't forget to click the ad before u continue blogwalking..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...